Perompak tersangkut di bumbung rumah

Britain – Salah seorang daripada tiga perompak yang memecah masuk sebuah rumah di sini terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan keselamatan apabila dia tersangkut di atas bumbung rumah yang dimasukinya itu.

Remaja yang berpakaian hitam itu cuba melarikan diri melalui bumbung rumah selepas kehadiran mereka dikesan oleh pemilik rumah tersebut, Damiano Rea, 31, yang baru pulang.

Pemilik rumah itu mendapati pintu depan rumahnya terbuka manakala kelibat perompak itu berada di ruang tamu menyebabkan dia kemudian mengejar mereka yang melarikan diri ke atas bumbung.

Namun, salah seorang perompak itu terpaksa diselamatkan oleh anggota-anggota bomba dengan menggunakan sebuah tangga bertingkat setelah dia tersangkut di atas bumbung, baru-baru ini.

Dua lagi rakannya berjaya melarikan diri dengan terjun dari bumbung berkenaan.

Seorang pegawai polis, Kev Benson berkata, pihak polis menerima satu panggilan telefon dari seorang pemilik rumah pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan yang mengatakan terdapat seseorang yang berada di atas bumbung rumah.

“Kami tiba di tempat kejadian bersama skuad polis helikopter dan mendapati seorang remaja berada di atas bumbung rumah itu.

“Dengan bantuan pasukan bomba, remaja tersebut dibawa turun dan diselamatkan pada pukul 6.15 pagi waktu tempatan dan dia ditangkap kerana disyaki merompak,” katanya.

Remaja berusia 14 tahun itu ditangkap kerana mencuri dan akan didakwa di mahkamah bulan depan.

Komentar ditutup.

%d bloggers like this: